Jagad.id – Menjawab soalan-soalan daripada pihak majikan semasa sesi temuduga amat menggerunkan bagi sesiapa sahaja. Ia akan bertambah gerun dan gementar sekiranya pihak majikan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa semasa sesi temuduga. Sebagai calon temuduga pasti kita mahu berhati-hati semasa menjawab soalan yang diajukan. Setiap calon temuduga perlu mengetahui cara untuk menjawab soalan temuduga dengan betul dan contoh soalan-soalan lazim temuduga.
Terdapat banyak artikel yang membuat perkongsian tentang cara menjawab soalan temuduga untuk calon temuduga. Artikel tentang soalan lazim temuduga juga banyak terdapat di internet.
Selain keputusan atau pencapaian akademik, kemahiran berkomunikasi, berfikir dan menyelesaikan masalah juga menjadi elemen utama bagi pihak majikan.
Jangan bimbang sekiranya penguasaan bahasa Inggeris anda kurang mantap kerana kami akan menyediakan beberapa contoh soalan lazim temuduga dan cara untuk menjawab soalan ketika temuduga. Walaupun sesetengah syarikat menyediakan soalan yang berlainan, tetapi secara umumnya, kebanyakan syarikat akan mengemukakan soalan yang sama kepada setiap calon.
Ini kupasan ringkas mengenai soalan lazim temuduga.
1. Boleh awak cerita tentang diri awak ?
Salah satu contoh soalan temuduga yang lazim adalah soalan pengenalan diri. Soalan pengenalan diri ini berfungsi untuk mengesan kelemahan dalam diri calon. Dan juga untuk melihat sejauh mana kesediaan calon dalam aspek peribadi. Anda boleh menjawabnya menggunakan kaedah kronologi, kreatif dan retorik.
Do:
– Kongsikan pengalaman peribadi yang tidak berkaitan dengan pekerjaan seperti latar belakang keluarga dan juga pencapaian dari segi akademik.
– Memberi ringkasan tentang kelayakan dan pencapaian anda.
Don’t:
– Terlampau berkongsi tentang hal peribadi.
– Terlalu “menjual” diri anda.
2. Apakah kelebihan / kelemahan anda?
Jika anda menerima soalan ini, apa yang anda perlu lakukan adalah menjawab dengan tenang, ringkas dan juga jujur.
Strengths:
– Memilih untuk menyatakan kekuatan yang serasi dan yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon.
Weaknesses:
– Walaupun anda perlu jujur, cuba untuk yakinkan pihak majikan bahawa kelemahan anda boleh diperbaiki dan anda sedang berusaha ke arah itu.
3. Apakah jangkaan gaji anda?
Soalan ini mungkin nampak mudah tetapi menjawab soalan ini adalah rumit. Jika anda meletakkan harga yang rendah, pihak majikan mungkin merasakan anda kurang yakin pada diri sendiri. Jika anda meletakkan harga yang tinggi, mungkin pihak majikan akan berundur diri dan anda akan terlepas peluang kerja tersebut.
Do:
– Buat sedikit kajian tentang purata gaji mengikut kelayakan dan jawatan yang dipohon.
– Anda juga boleh menjawab dengan jawapan yang selamat, contohnya “ Saya gembira sekiranya pihak Tuan / Puan boleh memberi gaji yang bersesuaian dengan kos sara hidup pada zaman sekarang.”
4. Mengapa anda berhenti kerja terakhir anda?
Salah satu cara untuk menjawab soalan temuduga ini adalah memberikan jawapan sebagai seorang yang profesional. Jangan sesekali menipu sekiranya anda berhenti kerja atas sebab yang kurang menyenangkan. Tetapi dalam masa yang sama, cuba masukkan jawapan yang positif seperti berhenti kerja kerana mahukan pengalaman dan ingin mencabar diri di tempat baru.
5. Adakah anda mempunyai sebarang pertanyaan?
Di akhir sesi temuduga pasti pihak majikan akan memberi peluang kepada setiap calon temuduga untuk bertanya apa apa soalan. Adalah lebih baik sekiranya anda bertanyakan sekurang-kurangnya 2 soalan kepada pihak majikan. Dengan bertanyakan soalan, pihak majikan akan merasakan bahawa anda sememangnya berminat dengan kerja tersebut. Jadi, anda perlulah bersedia dengan soalan yang ingin anda ajukan.
Bahasa inggeris sudah menjadi bahasa utama untuk berkomunikasi pada hari ini. Selain memiliki keupayaan untuk bertutur dalam bahasa inggeris, kelancaran pertuturan juga amat penting. Oleh kerana anda sudah tahu soalan-soalan lazim temuduga, anda boleh membuat persediaan rapi sebelum menjelang hari temuduga tersebut. Dengan contoh-contoh temuduaga dan cara-cara untuk menjawab soalan tersebut, proses temuduga anda menjalani dengan lancar.